17 June 2010

Ujian datang silih berganti…..






Kadangkala aku pernah terfikir…. Apakah hikmah di sebalik ujian ini? Ketika anak pertamaku lahir ke dunia, aku dan suami terpaksa melalui ujian yang maha hebat! Suamiku kehilangan kerjaya, hutang keliling pinggang, bayaran kereta yang tertunggak berbulan-bulan, bil hospital yang tidak mampu ku bayar, dan roadtax / insuran dekat setahun tidak dihidupkan. Paling mencabar, apabila anakku demam atau tidak sihat, manalah ingin kucari duit untuk membawa anakku ke klinik. Maklumlah hidup di KL ini susah nak cari klinik kerajaan yang bayarannya hanya RM1! Pernah suatu ketika aku dan suami tidak tidur malam menjaga anak yang sedang demam. Aku hanya mampu melumurkan badannya dengan air asam jawa sahaja untuk mengurangkan panas. Di dalam hati aku hanya mampu berdoa dan bertawakal, agar anakku Selamat. Aku juga terpaksa merahsiakan kesusahan kami pada keluarga, aku tidak mahu ibu berasa susah hati dan bimbang dengan keadaan kami.

Pandangan saudara mara juga cukup berbeza… Ketika senang, ramai yang datang bertandang ke rumah, ketika susah? Tiada siapapun yang pandang. Pernah suatu ketika bapa saudaraku menyindir suami yang ketika itu masih belum mempunyai pekerjaan. Begitu juga dengan kwan-kawan. Seorang teman yang agak rapat denganku ketika itu, pernah mengataku di belakang… “Ina tu tak pandai manage duit. Sebab tu susah…” Kami hanya tersenyum dan bersabar, sedangkan di dalam hati… hanya Allah sahaja yang tahu perit dan pedihnya.

Begitu juga di tempat kerja, berkali-kali aku ditegur kerana memakai t-shirt cap Giant ke pejabat. Bahkan ada seorang teman berkata, “Bergayalah sikit…. Kakak-kakak cleaner tu lagi bergaya dari kau…” Aku tersenyum sedangkan di dalam hati terguris dan terhiris. Sebenarnya aku tidak mampu untuk membeli baju baru untuk bekerja. Saat terpandang kawan-kawan yang berbaju cantik, aku pernah terasa rendah diri dan malu. Aku adukan pada suami, suami hanya menyabarkan aku… “tak per, besok bila kita mampu… kita beli.”

Soal makan pun begitu. Duit gaji terpaksa dihabiskan dengan membayar rumah dan anak. Soal makan kami… terpaksa di tolak tepi. Jika lapar… kami hanya makan Maggie atau apa sahaja yang boleh mengenyangkan. Waktu itu…. Udang atau ayam merupakan makanan yang paling mahal. Teringin tapi kami terpaksa memendam perasaan.


Suamiku seorang yang penyayang…. Seringkali aku melihat dia menitikkan air mata di tikar sembahyang. Aku tahu dia malu…. Tapi sedarilah, aku tidak pernah mengganggapnya satu beban. Setiap hari dia akan keluar mencari pekerjaan. Interview sana, interview sini dengan perut kosong tanpa makanan. Aku kasihan dengan keadaan suami, tapi aku tidak mampu untuk menolongnya lebih dari itu……

Beberapa bulan selepas itu Allah SWT menurunkan rezeki yang tanpa dijangka. Suami sudah mendapat kerja di sebuah kilang memproses minuman di Shah Alam. Aku pula berasa lega apabila majikanku memberikan bonus 1 bulan setengah. Aku terus membahagi-bahagikan duit mengikut hutang yang tertunggak… bayaran hospital, road tax/insuran, dan macam-macam lagi……

Namun belum sempat untuk kami tersenyum sehingga ke petang…. Kereta kancil putih kepunyaan suami ditarik kerana sudah berbulan-bulan tidak dibayar. Kami kebuntuan dan termenung. Mana ingin kucari duit untuk mendapatkan kereta itu kembali. Selepas menghantar anak ke rumah pengasuh, aku dan suami berjalan kaki dari rumah yang terletak di Damansara Damai sehingga ke Komuter Sungai Buluh! Aku terus ke pejabat dan suamiku terus ke bank.

Sekembalinya aku dari pejabat…. Ku lihat suamiku terbaring di atas katil dalam keadaan yang panas. Badannya panas dan kulitnya merah. Aku tanya kenapa? Dengan suara yang tersekat-sekat… dia menjawab, “Abang berjalan kaki dari Kelana Jaya ke rumah, abang tak ada duit nak balik….” Aku menangis! Aku menangis memeluknya…. Dengan suara yang tenang aku terangkan padanya….

“Abang… ada Hamba Allah yang sudi membantu kita. Dia memberi pinjaman sebanyak RM4 Ribu untuk mengeluarkan kereta kita bang…” Hamba Allah itu terpaksa aku rahsia….. biarlah Allah sahaja yang tahu betapa luhurnya hatinya. Sehingga kini aku begitu terhutang budi padanya. Sampai bila-bilapun akan kukenang segala jasanya itu! Terima kasih ……..

Masa itu cepat berlalu, hasil perkongsian hidup bersama suami yang paling aku sayang, kami dikurniakan 3 cahaya mata! Biarpun hidupku kini tidak sepahit dulu. tapi kami bersyukur…. Inilah kemanisan yang Allah berikan kepada kami…. Dugaan dan cabaran tetap ada, tapi…. Alhamdulillah kami berjaya hadapinya dengan sabar. Paling penting aku tidak perlu berkira-kira jika anak-anakku ingin makan itu dan ini. Hidup kami tidak mewah…. Tapi kami sentiasa membantu dan tolong-menolong antara satu sama lain. Paling penting! Usahlah berkira sekiranya suami kita ditimpa kesusahan….. kepahitannya, adalah kepahitan kita, kemanisannya adalah kemanisan kita bersama…..

Biarkan orang nak kata apa, asalkan suami dan Allah tahu siapa kita. Biarkan segala hinaan dan cela orang pada kita. Yang penting, kita perlu sabar, tawakal dan berserah pada Allah. Ingatlah! Allah itu ada dan tahu segala-galanya….

Aku sedar dan tahu! Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Sungguhpun perit untuk dilalui, tetapi Allah akan persiapkan kebahagiaan di kemudian hari. Sehingga kini ujian ujian demi ujian terus datang… tapi kami tidak mengeluh, kerana kami tahu ini tanda Allah sayang pada kita….


"Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar zarrah, dan jika ada kebajikan sebesar zarrah, nescaya Allah akan melipat gandakannya dan memberikan dari sisi-Nya pahala yang besar" (An Nisaa ayat 40)






No comments:

Syukur

Ya Allah ku panjatkan rasa syukur, kerana anugerahkan ku sebuah keluarga yang penuh dengan kasih sayang. Suami yang penyayang dan memahami, serta 3 anak kecil yang sentiasa membuatkan ku gembira. Gelak tawa dan gurauan kalian membuatkan hidupku lebih sempurna. Terima kasih Ya Allah! Terima kasih semua....